Friday, November 5, 2010

Wasiat & Kata-Kataku: Yang Keempat (Bersyukur dan Berzikirlah kepada Yang Maha Esa )


    Sebagai hamba Allah yang tergolong daripada umat Muhammad SAW yang tiada tolok bandingya dengan umat para Nabi yang lain , kita haruslah memanjatkan kesyukuran kerana kita dilahirkan secara sedia ada tergolong dalam golongan umat yang terpilih ini. Sesungguhnya , Allah SWT telah berfirman umat Muhammad merupakan sebaik-baik umat yang pernah mentadbir bumi Allah ini.

Firman Allah SWT : 
3:110

"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik."
(Surah Ali-Imran : 110)
           Wajarlah kita mensyukuri nikmat yang telah dikurniakan kepada kita - Nikmat yang Allah berikan kepada kita sebenarnya terlalu luas. Sedar tidak sedar , hakikatnya sememangnya kita ini dapat hidup hanya kerana Allah Yang Maha Luas Pemberian-Nya memancarkan kasih-Nya , sayang-Nya , rahmat-Nya , kekayaan-Nya kepada kita. Ada sesetengah golongan orientalis Barat yang menyamakan Allah dengan Zeus , tuhan mitos Greek dengan menyatakan bahawa Allah memberi pelbagai nikmat kepada kita kerana Dia memerlukan kita. INI ADALAH SATU KESALAHAN YANG BESAR , barang siapa yang membenarkan kenyataan orientalis Barat tadi nyata kafir. Allah Azza Wa Jalla memberi segala kesenangan dan nikmat bukanlah kerana Dia memerlukan kita , tetapi hanyalah kerana sifat ar-Rahman dan ar-Rahim-Nya. Ingatlah setiap larangan-Nya , setiap suruhan-Nya yang diberikan kepada kita jika kita patuhi atau kita ingkari tidak akan membawa sebarang manfaat mahupun mudharat kepada-Nya , Zat Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung walaupun sebesar debu sekalipun. Dia memberi sebarang nikmat daripada hamba-hamba-Nya adalah semata-mata kerana itu Iradat-Nya , ataupun Kehendak yang merupakan salah satu dari 20 sifat-Nya. Kehendak Allah itu pula dibaluti dengan rasa kasih-Nya terhadap hamba-hamba-Nya lalu menjadikan setiap syariat , amalan , amanat dari-Nya adalah untuk kebahagiaan kita dunia dan akhirat. 
        Jadi ucapkanlah syukur syukur kepada Allah SWT atas Pemberian-Nya. Namun , memang sudah menjadi hakikat kita jarang-jarang sekali bersyukur kepada-Nya. 
Firman-Nya : 
7:10


"Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur."
     (Surah Al-A'raf : 10)
Firman-Nya lagi :


32:9


"Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur."
(Surah As-Sajdah : 9)


Mensyukuri nimat Allah Taala itu wajib bukannya sunat , janganlah kita tergolong dengan mereka yang mengkufuri nikmat Allah. Allah tidak meminta balasan , hanya mengingatkan kita agar bersyukur dan Dia amat menyayangi mereka yang bersyukur. 
 Firman Allah : 
14:7


"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras"."
(Surah Ibrahim : 7)
Firman-Nya lagi :


2:152


"Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku)."
(Surah Al-Baqarah : 152)
                   Tetapi sudah menjadi lumrah manusia yang mudah lupa akan budi , nikmat Allah , hanya bersyukur apabila mendapat sesuatu nikmat yang zahir seperti mendapat hadiah , kenaikan pangkat , makan dan minum yang cukup , sumber pendapatan yang tinggi , rumah yang besar dan sebagainya namun tidak pula mereka bersyukur kepada nikmat Allah yang batin , seperti akal yang waras , pergerakan anggota yang lancar , nadi yang selaras , udara yang mencukupi keperluan untuk bernafas , dikurniakan pancaindera ,mempunyai masa lapang , air yang tidak terkira , sedangkan jika kita masih dapat berpijak di muka bumi Allah ini juga merupakan suatu nikmat dan rahmat dari Ilahi. Jikalau segala nikmat Allah itu , hendak kita senaraikan , ianya akan menjadi suatu senarai yang tiada berpenghujung ,jikalau kita mencabar dengan berkata , " Aku tak perlukan semua ini " , dan sebagainya ternyata kita telah teran-terangan mengkufuri Allah SWT. Berapa kalikah kita mengucapkan tahmid , memanjatkan kesyukuran untuk segala nikmat yang kita perolehi? Amatlah sedikit. 


Bukan sahaja bertahmid , malahan berzikirlah kita  kepada-Nya. Apalah salahnya , malah tidak susah untuk kita mengucapkan zikir di bibir-bibir kita. Allah telah berfirman agar kita sentiasa mengingati-Nya pada setiap masa dan keadaan. 
Firman-Nya:


4:103

"Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya."
(Surah An-Nisa : 103)


33:41

(surah Al-Ahzab : 41)
"Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya;"
Ada pelbagai zikir yang menjadi amalan tetapi Rasulullah pernah bersabda :


"Sebaik-baik zikir kamu kepada Allah SWT ada empat , Maha Suci Allah (Subahnallah , Tasbih) , Segala Puji bagi Allah (Alhamdulillah , Tahmid) , Tiada Tuhan melainkan Allah ( La Ilaha Illallah , Tahlil) , Allah Maha Besar (Allahu Akbar , Takbir). Tidak ada halangannya untuk memulakan yang mana satu di antara empat itu dahulu"


Perbanyakkanlah diri kita dengan amalan zikir , basahilah lidah kerana berzikir , keringkan lidah kita juga kerana berzikir , Insya-Allah kita akan mendapat rahmat , nikmat , beserta berkat. Sehingga berjumpa lagi , Insya-Allah.

Friday, October 15, 2010

Wasiat & Kata-kataku : Yang Ketiga (Menjauhi Sesuatu Yang Sia-Sia)



"Allah SWT tidak memberi syurga kepada manusia secara percuma tanpa bersusah payah. Andai seseorang itu mahukan martabat tinggi sampai ke syurga , mesti melalui ranjau, duri , cabaran bahkan mungkin fitnah. Seseorang itu tidak boleh berada di tempat tertinggi kalau tidak melalui kaedah ini" 
- YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat , Mursyidul Am PAS.-

Memetik kata-kata beliau , buka-bukalah minda , fikirlah sedalam yang mungkin. Di dalam sehari , berapa kalikah kita berzikir dan mengingati Allah SWT?  Didalam sehari, berapa kali pulakah kita bersyukur keatas nikmat-nikmat kurnia-Nya? Banyakkah ibadat kita kepada-Nya yang mampu menampung kita ke Syurga? Jikalau jawapannya semua positif ,  Alhamdulillah , syukurlah kerana  kita sudah terselamat dari segala yang sia-sia. Perkara sia-sia ialah perkara yang tidak membawa suatu manfaat buat diri kita di dunia dan juga akhirat kelak dan sebahagian perkara yang sia-sia mampu mengundang maksiat. Perkara-perkara yang sia-sia juga selalunya adalah perkara yang melalaikan. Antara perkara yang sia-sia ialah:
  • Membuat konsert-konsert dan acara tari-menari
  • Melepak dan berbual kosong
  • Berkata-kata kesat
  • Menghisap dadah dan sebagainya
  • Melayari laman-laman web yang tidak berfaedah
  • Bermain alat muzik (lebih-lebih lagi yang melalaikan)
  • Lumba haram
  • Bertaruh
Itulah diantara perkara-perkara yang sia-sia. Perkara-perkara diatas jikalau dilakukan , sebahagiannya mampu menjadikan kita lalai akan kewajipan fardhu kita seperti solat. Sebagai contohnya , mereka yang bermain gitar dan sebagainya berkumpul , lalu mahu membuat suatu perkara yang digelar oleh mereka sebagai jamming , mampu menyebabkan diri mereka terlalai dan lupa akan solat dan sebagainya. Hal ini mampu mengundang kemurkaan Allah SWT kerana Allah SWT menyuruh hamba-hamba-Nya menjauhi akan perkara dan yang sia-sia apatah lagi yang mampu menyebabkan kelalaian. Bukan itu sahaja umat Islam juga dilarang daripada  berkata-kata tentang sesuatu yang sia-sia.

Firman Allah SWT :

23:1
23:2
23:3



"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;"
(Surah Al-Muiminun : 1-3)


Maka sebagai seorang muslim kita haruslah menghindarkan perkara-perkara sia-sia. Di dalam Al-Qur'an , Allah SWT telah berfirman kepada hamba-hamba-Nya agar sentiasa mengingati-Nya (berzikir dan sebagainya) agar masa yang ada tidak menjadi sia-sia. Ini kerana dikatakan bahawa manusia itu sentiasa dalam keadaan lalai kecuali beberapa orang. Firman Allah SWT agar sentiasa mengingati-Nya sepertimana berikut : 

7:205

"Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai."
(Surah Al-A'raf : 205)

Firman Allah SWT bagi menyatakan tentang kerugian yang dialami oleh manusia terdapat didalam Surah Al-'Asr :

103:1
103:2
103:3

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."
(Surah Al-'Asr : 1-3)


Didalam Surah Al-'Asr , Allah SWT bersumpah dengan makhluk-Nya , masa , bahawa manusia itu didalam kerugian. Mengapakah manusia didalam kerugian? Kerana mereka telah menghabiskan masa yang ada dengan perkara yang lalai dan sia-sia. Disebabkan ini jugalah Hari Kiamat juga di berikan nama Yaumun Nadamah , iaitu hari penyesalan dimana semua manusia berasa sangat menyesal , baik yang melakukan kemungkaran mahupun melakukan kebaikan. Tidak hairanlah mereka yang digelar mujrimin (yang melakukan kemungkaran) merasa menyesal kerana mereka telah mensia-siakan peluang yang ada di muka bumi dahulu dengan melakukan perkara yang sia-sia dan melalaikan dan akan menerima azab yang keras , tetapi mengapakan mereka yang digelar muhsinun (yang melakukan amal kebaikan)  turut menyesal? Ini adalah kerana apabila mereka diperlihatkan akan nikmat-nikmat Syurga , mereka rasa menyesal kerana mereka merasa mereka tidak merebut peluang yang ada dibentangkan oleh Allah Azza Wa Jalla dengan sebaiknya. 

Oleh sebab itu , Allah SWT , yang Maha Mengasihi hamba-hamba-Nya telah memberikan peringatan agar hamba-hamba-Nya berterus-terusan dalam melakukan ibadah. Firman-Nya :

94:7

"Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),"
(Surah Al-Insyiraah : 7)

Ini semua adalah kerana Allah tidak mahu kita bergelumang dengan perkara yang sia-sia. Allah juga melarang hamba-hamba-Nya menyumpah sesiapa dengan perkataan-perkataan yang keras agar orang itu kecelakaan.

Seperti Firman-Nya
4:148

"Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
(Surah an-Nisa' : 148)


Didalam ayat Al-Qur'an , Surah Ani-Nisa' Allah tidak membenarkan kita berkata-kata buruk melainkan kita sedang dizalimi atau dianiaya menurut Ibnu Abbas sepertimana yang diambil oleh Ibnu Talhah. Rasulullah SAW melarang berkata-kata kotor. Baginda hanya membenarkan kata-kata yang baik-baik sahaja diucapkan oleh bibir-bibir umatnya. Oleh kerana yang demikian , larangan Rasulullah juga merupakan larangan Allah. Sabda baginda:

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata-kata dengan kebaikan atau jika tidak, hendaklah dia diam sahaja. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan jirannya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Allah juga menekankan dalam Surah Al-Mu'minun bahawa mu'min yang berjaya adalah mereka yang berjaya menghindari perkataan yang sia-sia seperti mencarut dan sebagainya seperti yang dinyatakan sebelum ini. Firman Allah SWT : 


23:1
23:2
23:3


"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang berimanIaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;"
(Surah Al-Mu'minun : 1-3)


Jikalau direnung semula , mengapa kita ingin menganiaya diri sendiri dengan melakukan perkara yang sia-sia yang tiada manfaat bagi kita? Maka jauhilah sesuatu yang sia-sia di dalam hidup kita , dan perbanyakkanlah amal yang yang mampu menyelamatkan diri kita. Ada sebuah hadis berkenaan Rasulullah melihat perlbagai amalan ikhlas yang dilakukan didunia dulu menyelamatkan umatnya diakhirat kelak. Hadis ini riwayat at-Tarmizi daripada al-Hakim , daripada  Abdullah bin Umar , daripada Nafie' , daripada Abi hudaie' , daripada Abdul Abdul Rahman bin Abdillah , daripada Sai'd bin Musayyab , daripada Abdul Rahman bin Samurah katanya , bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud:

"Semalam aku melihat perkara yang menakjubkan. aku melihat seorang lelaki daripada kalangan umatku didatangi oleh malaikat maut, maka datanglah amalan baik lelaki itu, iaitu amalan kerana menjaga kedua ibu dan bapanya. Amalan itu datang dan berjumpa dengan malaikat Maut lalu menghalang malaikat maut daripada mengambil nyawa lelaki itu(dengan amalan itu bertambah panjang umur lelaki itu).

Begitu juga aku melihat seorang lelaki daripada kalangan umatku yang sedang berhadapan dengan azab kubur, tiba-tiba datang amalan wuduk orang itu yang cukup sempurna lalu menangkis azab kubur, sehingga lelaki itu terlepas daripada azab kubur yangg sudah bersedia mengazabnya.

Begitu juga aku melihat seorang lelaki daripada kalangan umatku yang dikelilingi syaitan yang akan menyesatknya. ketika itu datang amalan zikrullah orang itu dan menghambat syaitan-syaitan itu, maka terlepaslah daripada perbuatan syaitan yang akan menyesatkannya.

Aku juga melihat umatku sedang dikelilingi malaikat azab yang sudah bersedia mengazab org itu, kemudian datanglah amalan solat(solat fardhu dan sunat) orang itu lalu melepaskannya dari azab itu.

Selain itu aku juga melihat umatku dalam keadaan terlalu dahaga, setiap kali dia pergi kepada kolam kolam air, ada orang yang menghalaunya.Pada ketika itu, datanglah amalan puasa orang itu membawakan air kepadanya, maka minumlah dia sehingga hilanglah dahaganya.

Aku juga melihat kumpulan umatku sebagaimana nabi-nabi yang lain duduk berkumpul-kumpul. Tetapi di kalangan orang itu seorang daripada umatku yang setiap dia cuba menghampiri kumpulan tersebut , dia akan dihalau. Kemudian datang orang itu yang berupa mandi junabah, lalu amalan itu mengangkat orang berkenaan dan meletakkan orang berkenaan dalam kumpulan manusia dan para nabi.

Begitu juga aku melihat umatku yang sedang dikelilingi oleh gelap-gelita menyebabkan dia kebingungan. Ketika itu datang amalan haji dan umrahnya menariknya daripada keadaan gelap-gelita dan menghantarnya ke tempat yang terang benderang.

Begitu juga aku melihat seorang daripada kalangan umatku yang mahu bercakap dengan orang lain, malangnya orang-orang itu tidak mahu berkata-kata dengannya. Ketika itu datanglah amalan silaturrahim dan berkatalah ia;'Wahai orang-orang mu'min semua , berkata-katalah terhadap orang ini' Setelah itu maka berkata-katalah orang-orang mu'min itukepada orang berkenaan.

Aku juga melihat seorang daripada umatku sedang ditimpa percikan api , ketika datanglah amalan sedekahnya lalu menjadi perisai kepada orang itu daripada bahaya semburan api itu.

Selain itu aku juga melihat seorang daripada umatku yang sedang diheret kedalam api neraka. Pada ketika itu datanglah amalan amar makruf nahi mungkar bersama dengan malaikat Rahmat, lalu menyelamatkan orang berkenaan dari dalam kawah api neraka.

Aku melihat seorang daripada umatku yang jalan merangkak bagi menemui Allah SWT , malangnya ada tembok yang memisahkannya mereka dengan Tuhannya, Ketika itu datanglah amalnya berupa akhlak yang mulia , lantas memimpin tangan orang itu menuju ke hadrat Allah SWT.

Sesungguhnya aku juga melihat suratan amalan umatku yang dihulurkan kepadanya oleh malaikat dengan tangan kiri , ketika itu datanglah kepadanya amal ibadatnya yang disebabkan rasa gerun kepada Allah. Amal yang disebabkan gerun kepada Allah itu menjadi penangkis kepada suratan yang bakal diterima melalui tangan kirinya , menyebabkan bertukarlah suratan amal itu menjadi suratan amal dari sebelah kanan.

Begitu juga seorang daripada umatku yang timbangan amal kebajikan mereka terlalu ringan sebaliknya timbangan amal yang jahat mengatasi timbangam yang baik. Ketika itu datanglah anak-anak orang itu yang mati ketika kecil , lalu timbangan amal kebajikan orang tuanya menjadi berat.

Aku juga melihat antara umatku yang seang berdiri di tepi neraka jahannam dan hampir-hampir terjerumus ke dalamnya, maka ketika itu datanglah amal jahat yang tidak jadi dilakukannya semata-mata kerana gerun dan takut kepada Allah. Amalan itu menarik tangan tuannya hingga terselamatlah dia daripada api neaka dan memasukkannya ke dalam syurga.

Aku juga melihat umatku yang sedang menjunam jatuh ke dalam neraka , tiba-tiba datang air matanya yang menitis semasa di dunia dahulu disebabkan terhadap perbuatannya yang buruk semata-mata kerana Allah, lalau air mata sesalannya itu menyambarnya daripada terus terjatuh ke dalam neraka kawah neraka , menyebabkan dia terkeluar daripada neraka itu.

Aku juga melihat dikalangan umatku yang berdiri diatas titian sirat dalam keadaan terketar-ketar kerana takut terjatuh ke dalam neraka, sebagaimana ketarnya orang sakit tenat. Tiba-tiba datang amalan hatinya iaitu bersangka baik kepada Allah , maka amalannya itu menyelamatkannya daripada terjatuh ke dalam neraka serta dapat meneruskan perjalanan melalui titian sirat itu dengan selamat menuju ke syurga.

Aku juga melihat dikalangan umatku yang sedang mengengsot dan merangkak di atas titian sirat , ketika itu datanglah amalan selawatnya ke atas aku(Rasulullah SAW)lalu dipegangnya tangan orang itu dan diangkatnya berdiri tegak. Maka selawat itu memimpinnya terus merentasi titian sirat itu dan selamat sampai ke syurga.

Akhirnya aku juga melihat di kalangan umatku yang telah sampai ke pintu syurga , malangnya setiap pintu syurga yang hendak dilaluinya tertutup dan terkunci untuknya , Ketika datanglah syahadatnya yang menjadi pegangan akidahnya , makla terbukalah pintu syurga dab dapatlah umatku itu memasuki syurga denan aman."

Sampai disini sahajalah buat kali ini , semoga kita mendapat manfaat yang besar dari hadis yang panjang ini , insya-Allah. Syukran , dan Assalamualaikum , sehingga kita bertemu lagi.


Thursday, October 14, 2010

Wasiat & Kata-kataku : Yang Kedua ( Beriman dengan Hari Kiamat)



Mempercayai hari kiamat merupakan salah satu rukun iman yang menjadi tunggak asas kekuatan iman seseorang itu. Hari kiamat ataupun Hari Akhirat merupakan hari dimana Allah SWT akan menghancurkan alam secara seluruhnya dan dikumpulkan manusia untuk dihisab amalannya. Pada mulanya Allah SWT akan memerintahkan Israfil meniup sangkakala dan Israfil juga sudah lama menunggu izin Allah untuk meniup sangkakala. Pada tiupan yang pertama , maka akan hancurlah alam ini secara seluruhnya dan mematikan semua manusia.
Firman Allah SWT :

36:29


"(Kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi."
(Surah Yasiin : 29)
Firman Allah SWT lagi :

69:13
69:14
69:15
69:16
69:17
69:18


"Kemudian (ketahuilah bahawa) apabila ditiup Sangkakala dengan sekali tiup, -Dan bumi serta gunung-ganang diangkat (dari tempatnya) lalu dihancurkan keduanya dengan sekali hancur, -Maka pada saat itu berlakulah hari kiamat, -Dan terbelahlah langit, lalu menjadilah ia pada saat itu reput (dan runtuh),Sedang malaikat-malaikat (ditempatkan) mengawal segala penjurunya, dan Arasy Tuhanmu pada saat itu dipikul oleh lapan malaikat di atas malaikat-malaikat yang mengawal itu.Pada hari itu, kamu semua dihadapkan (untuk hitungan amal); tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi (kepada Allah) dari perkara-perkara kamu yang tersembunyi."
(Al Haqqah : 13-18)
Kemudiannya , Allah memerintahkan untuk tiupan sangkakala bagi kali yang keduanya , maka semua manusia itu pula dibangkitkan dari kubur mereka dengan tiupan itu dan dikumpulkan diatas Padang Mahsyar. 

Firman Allah SWT : 

36:51

"Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang-orang yang telah mati; apabila berlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing (untuk) mengadap Tuhannya."


(Surah Yasiin : 51)
Firman Allah SWT lagi :


39:68

"Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing)."

Maha Kuasa Allah yang mentadbir Langit dan bumi beserta seluruh alam ini , jikalau Dia kehendakkan sesuatu maka pastilah perkara itu akan terjadi. Walaupun dalil-dalil seperti ini dikeluarkan , masih ada  sebahagian daripada umat manusia yang mendustakan hari kiamat. Sebagai akibatnya , Allah Azza Wa Jalla telah menggolongkan golongan ini sebagai golongan yang akan merasakan seksa api neraka. Firman Allah SWT :

6:30


"Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka dihadapkan kepada Tuhan mereka, lalu Allah berfirman: "Bukankah hari kiamat ini suatu perkara yang benar? Mereka menjawab: "Benar, demi Tuhan kami!" Allah berfirman lagi: "Oleh itu, rasalah azab seksa neraka dengan sebab kamu telah kufur ingkar"."
(Surah Al-An'am : 30)

Firman Allah SWT lagi:

30:16

"Dan sebaliknya kumpulan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami (Al-Quran) serta mendustakan pertemuan hari akhirat, maka mereka akan tetap berada dalam azab seksa selama-lamanya."
(Surah Ar-Rum : 16)

Mereka yang mendustakan hari akhirat ini juga teramatlah gementar , gelisah , takut dan panik sehingga jantung mereka ibarat hendak tercabut apabila dibangkitkan dan menyaksikan kebenaran hari kiamat kerana mereka telah melakukan kemungkaran di atas muka bumi dahulu dan telah dijanjikan azab oleh-Nya. Firman Allah SWT:

34:51

"Dan (sungguh ngeri) jika engkau melihat (keadaan orang-orang yang bersalah itu) ketika mereka gelisah takut (menyaksikan azabnya) serta mereka tidak mendapat jalan mengelaknya, dan mereka pun diambil dari tempat mereka berada (untuk dibawa ke tempat azab)."
(Surah Saba' : 51)

 Mereka yang tidak mempercayai akhirat secara tidak langsung akan turut tidak mempercayai tentang kehidupan selepas mati , maka berkata-katalah mereka seperti yang tertulis di dalam ayat-ayat dibawah selepas mereka dibangkitkan dan dihimpunkan di Padang Mahsyar  :

36:52

"(Pada ketika itu) orang-orang yang tidak percayakan hidup semula berkata: Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?,, (Lalu dikatakan kepada mereka): " Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul!,"
(Surah Yasiin : 52)


Bagi mereka yang mempercayai hari akhirat juga berasa gementar tetapi alangkah untungnya mereka kerana mereka telah disambut oleh para malaikat dengan kata-kata yang menyenangkan. Ini adalah kerana sewaktu di dunia dahulu mereka telah mempercayai dan yakin akan hari kiamat dengan keyakinan yang tiada berbelah bahagi. Apatah lagi apabila Rasulullah SAW sering memberi peringatan kepada mereka. Namun, punyakah kita pendirian yang tiada berbelah bahagi seperti  mereka-mereka yang terdahulu? Maka , seringkalilah kita memohon agar diperkuatkan iman didalam dada , agar kita tergolong dalam golongan ahli yakin dan golongan orang mu'min yang bertaqwa dengan sebenar-benar taqwa , Insya-Allah. Didalam Al-Qur'an telah dinyatakan perihal mereka yang beriman dengan hari kiamat sepertimana yang berikut:


21:103

Huru-hara besar yang amat mengerikan (pada hari kiamat) itu tidak merunsingkan mereka, dan (sebaliknya) mereka disambut oleh malaikat-malaikat dengan berkata: "Inilah hari kamu (beroleh kebahagiaan), yang telah dijanjikan kepada kamu (di dunia) dahulu"."
(Surah Al-'Anbiya' : 36)

Secara tuntasnya , tahulah kita bahawa Akhirat itu pasti terjadi kerana sudah banyak dalil-dalil di dalam Al-Qur'an yang menyatakan hal-hal tersebut.Namun persoalannya , berapa hampirkah kita dengan kiamat itu? Masih jauhkah? Wallahu'alam. Kerana itu termasuk di antara rahsia-rahsia Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Rasulullah apabila ditanya tentang bila akan berlakunya hari kiamat , baginda akan memberi petanda-petandanya seperti hadis berikut:

Rasulullah s.a.w telah menjenguk kepada kami semasa kami sedang ingat mengingati satu sama lain, lalu Baginda s.a.w bertanya:"Apa yang kamu ingat mengingatkan itu?" Kami menjawab:"Kami mengingati perihal hari kiamat dan saat berlakunya"; Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya saat kiamat tidak akan berlaku melainkan setelah kamu melihat sebelumnya sepuluh alamat." Lalu Baginda s.a.w menyebut alamat atau tanda-tanda itu iaitu: Asap, Dajal (orang yang menyembunyi dan mengubah keadaan perkara-perkara yang benar dengan perkataan dustanya atau perbuatan sihirnya) Dabbatul-Ardh, terbit matahari dari pihak masuknya (dari pihak barat), turunnya Nabi Isa anak Mariam, dan Ya'juj wa Ma'juj…"
(Riwayat Huzaifah bin Asid al-Ghifari r.a)


Allah SWT juga memberi gambaran bahawa kiamat itu sudah sampai saatnya.
Firman Allah SWT : 

53:57

"Telah hampir masa datangnya saat yang dekat itu (hari kiamat);"                  (Surah An-Najm : 57)

Selain itu terdapat beberapa tanda-tanda kiamat yang lain (tanda-tanda kecil) boleh kita lihat sebagaimana hadis Rasullullah SAW :

Diriwayatkan daripada Anas r.a, rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya:” Di antara tanda-tanda datangnya hari kiamat ialah (1) Ilmu agama akan diambil kembali (dengan meninggalnya para ulama’) (2) ketidaktahuan (terhadap agama) bermaharajalela (3) Meminum minuman beralkohol (telah menjadi kebiasaan) (4) Zina dilakukan secara meluas dan terbuka.”

Huraiannya:

Berkata Ali bin Abi Talib: “Akan datang suatu masa, Islam itu hanya akan tinggal namanya sahaja, agama hanya bentuknya sahaja, al-Quran hanya dijadikan bacaan sahaja, mereka mendirikan masjid, sedangkan masjid itu sunyi dari zikir menyebut nama-nama Allah. Orang yang paling buruk pada zaman itu ialah para ulama, dari mereka akan timbul fitnah dan fitnah itu akan kembali kepada mereka juga dan semua yang tersebut adalah tanda-tanda hari kiamat." Manusia akhir zaman akan menghadapi pelbagai ujian sehingga apa yang berlaku amat tidak masuk akal seperti binatang manusia itu dikatakan menjadi begitu sesat. Jika dahulu Allah SWT menurunkan bala di atas keterlaluan manusia yang melanggar perintah-Nya maka sekarang manusia seolah-olah tidak sedar bahawa mereka sedang ditimpa bala. Pengajaran demi pengajaran tidak diambil endah. Semua ini berlaku disebabkan manusia tidak pernah merasa puas. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mencari kepuasan nafsu. Ingatlah sesungguhnya kita dilahirkan dalam keadaan menangis, orang sekeliling tersenyum gembira. Beramallah agar kita mati dalam keadaan tersenyum, orang sekeliling menangis kerana peninggalan kita.

                    Sebagai hamba kepada Tuhan Yang Maha Esa , telah dipinjamkan pada kita pelbagai nikmat yang tidak dapat kita kecapi melainkan dengan pemberian dari-Nya , Allah Yang Maha Luas Pemberian-Nya. Adakah kita sudah benar-benar mempunyai amal yang mampu menampung kita ke Syurga , ataupun menjadi tempat berpaut dari terjunamnya kita ke Neraka Jahannam. Dalam kitab karangan Imam Al-Ghazali , 'Ihya Ulumuddin , beliau pernah berkata bahawa dunia ini ibarat ladang. Hati manusia pula merupakan tanahnya , iman pula benih-benih semaiannya manakala ketaatan dan kesucian hati seseorang itu seperti penggalian sungai dan aliran air yang disalurkan ke situ. Maka hati yang bergelumang dengan maksiat samalah seperti tanah yang tandus dan kering , tidak boleh disemai lagi. Akhirat pula ialah hari penuaian , dan hasilnya itulah yang akan menjadi bekalan dan hujah untuk menghadap mahkamah Rabbul Jalil. Maka fikir-fikirkanlah , jadikanlah ini sebagai peringatan , walaupun perkara ini sama sahaja seperti peringatan-peringatan lain. Sehingga berjumpa lagi. Insya-Allah. 


Hayatilah Surah Al-Waqiah dari ayat 1-74 bacaan oleh Sheikh Mishary Rashid Al-Fasy. Bacaan ini diambil ketika beliau membacanya di dalam solat tarawikh (Surah ini mempunyai 96 ayat )







Tuesday, October 12, 2010

Wasiat & Kata-kataku : Yang Pertama ( Carilah Keredhaan-Nya)






           Alhamdulillah , setelah lama menyimpan nawaitu mencipta suatu blog yang boleh digunakan sebagai medium penghantaran dan peringatan bagi mereka yang lupa. Kalau Imam Al-Ghazali , Imam al-Haitami , an-Nawawi , al-Mawardi , ataupun dengan kata lain , ulama' muktabar terdahulu menggunakan pena bagi membantu penduduk muslimin dan muslimat seluruhnya , saya menggunakan medium terbaru iaitu Internet walaupun perkaranya sama sahaja dan dengan berkat Allah SWT dan dengan izin-Nya saya cuma ingin menyatakan beberapa perkara yang ingin saya jadikan sebagai peringatan kepada diri dan masyarakat. Insya-Allah.


Firman Allah SWT :

2:110 

"Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan." 
(Al-Baqarah : 110)

 Firman Allah SWT  : 

2:29

"Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." 
( Al-Baqarah : 29)

Maha Suci Allah dari segala sifat kekurangan dan dari segala sifat lemah yang dimiliki oleh makhluk-Nya. Berdasarkan ayat diatas tahulah kita bahawa Allah itu Maha Melihat dan dari ayat tersebut kita juga tahu bahawa segala perbuatan manusia , tidak kira yang baik mahupun yang jahat tidak akan pernah terlepas dari Penglihatan-Nya walaupun perbuatan itu kita sembunyikan dari seluruh manusia sekalipun Allah tetap tahu kerana Allah itu Maha Mengetahui , Maha Melihat. Jadi secara mudahnya setiap sesuatu yang kita kerjakan pasti akan diketahui oleh-Nya dan di akhirat kelak pasti akan dilihat walaupun seberat zarah sekali pun perbuatan itu (sama ada baik atau yang jahat) sesuai dengan firman Allah SWT :

99:7
99:8
"Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!" 
( Az-Zalzalah : 7-8)

Dalam erti kata lain , kita tidak boleh lari dari Allah SWT. Maka beringat-ingatlah ketika melakukan sesuatu. Atas tujuan apakah kita melakukan sesuatu? Adakah ianya membawa kepada keredhaan  Al-Khaliq , Pencipta Langit dan Bumi beserta segala isinya? Jikalau tidak , maka jauhkanlah. Maka perkara yang dilakukan untuk mendapat keredhaan-Nya sahaja yang mendapat balasan yang baik dan kemuncak kebahagian di negeri Akhirat kelak iaitu Syurga ,  Insya-Allah. Namun, apakah perkara yang diredhai oleh-Nya? Dan apa pula yang dimurkai oleh-Nya? Jawapannya sangat banyak! Maka untuk permudahkan kita dapat simpulkan sebagai mematuhi segala perintah-Nya , dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebagai hamba , kita hendaklah melakukan kedua-duanya dengan sempurna dengan cara menghiraukan hasutan Iblis yang dilaknat ini dan tanpa mengikut hawa nafsu kita sendiri kerana hati kita ini sangat mudah terdorong kepada nafsu. Seperti hadis berikut : 

 Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda:"Neraka dilingkari oleh hal-hal yang menarik hawa nafsu sedangkan syurga dilingkari oleh hal-hal yang tidak disenangi."
(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Ini jelas menunjukkan betapa terdorongnya kita kepada hawa nafsu yang jahat. Maka kawallah nafsu tetapi janganlah dibuang terus nafsu itu (jikalau mampu) kerana nafsu itu ada juga gunanya (didalam perkara yang halal seperti dalam bab perkahwinan) dan Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Minhajul 'Abidin menyebut manusia yang tidak bernafsu bukanlah manusia. Kemudian , lawanlah Iblis kerana dia sangat suka sesat dan menyesatkan anak Adam A.S  dan membuatkan mereka mengikutnya kedalam Neraka Jahannam. Bahkan dia sudah bersumpah untuk melakukannya seperti didalam ayat berikut :



 15:39

"Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,"
(Surah Al-Hijr : 39)

Sumpah Iblis Laknatullah ini akan berkekalan sehingga ke Hari Kiamat dan dia tidak akan berputus asa kerana itu adalah kehendaknya. Maka persiapkanlah diri dengan ilmu di dada dan pohonlah kehadrat Yang Maha Esa agar diberi taufiq serta hidayah dari-Nya bagi memerangi hawa nafsu dan hasutan-hasutan Iblis Laknatullah ,  Insya-Allah. Seorang pendakwah (terlupa namanya) pernah menyatakan bahawa setelah dibuat pelbagai perbincangan dengan para ilmuan Islam yang lain , akhirnya mereka bersepakat untuk menyatakan bahawa meninggalkan suruhan Allah itu lebih besar impaknya kepada manusia. Bukan bermakna melakukan larangan-Nya tidak memberi impak , cuma apabila kita meninggalkan suruhan-Nya maka impaknya adalah lebih besar. Mereka mengambil contoh dengan mengambil kisah Nabi Allah Adam A.S dan juga Iblis Laknatullah. 
                   
                      Iblis sebelum dia menjadi kufur , dia adalah hamba Allah yang sangat taat malah melebihi para malaikat yang lain. Tetapi apabila Allah SWT memerintahkan dia (merupakan suatu suruhan) untuk bersujud kepada Nabi Adam A.S , dengan sifat takabbur dia meninggalkan suruhan Allah SWT. Sebagai impaknya , Allah SWT sangat murka dan menghalaunya keluar dari Syurga dan tidak mengampunkan dosanya sehingga ke Hari Kiamat dan ditakdirkan untuk masuk ke Neraka Jahannam. Bagi Nabi Adam pula , Allah SWT telah melarang Nabi Allah tersebut (merupakan suatu larangan) dari memakan buah dari sebatang pohon di Syurga yang Allah SWT nyatakan agar dijauhi. Namun , atas pengaruh Iblis Laknatullah tadi , Nabi Adam A.S melakukan larangan-Nya dengan memakan buah tersebut. Perkara tersebut menyebabkan Nabi Adam dikeluarkan dari Syurga namun begitu setelah beberapa lama, Wallahu'alam berapa lamanya taubatnya diterima oleh Allah yang Maha Pengampun. Maka dapat disimpulkan bahawa meninggalkan suruhan Allah itu lebih bahaya , tetapi ini tidak bermakna melakukan larangan-Nya tidak mengapa , bahkan ketahuilah bahawa azab bagi mereka yang melakukan larangan-Nya amatlah keras. Seperti firman-Nya :

14:2


"Allah jua yang memiliki segala yang ada di langit serta yang ada di bumi; dan kecelakaan besar bagi orang-orang yang kufur ingkar (terhadap Al-Quran) dari azab yang amat berat (yang akan menimpa mereka kelak)."
(Surah Ibrahim : 2)

Akhir kata , ingatlah Allah , ingatlah mati kerana mengingati mati itu memutuskan tipu daya dunia yang sementara. Maka fikir-fikirkanlah , dan semoga kita perolehi manfaat yang besar dari rencana ini , dan menjadi peringatan yang sering di peringatkan kepada kita. Sehingga berjumpa lagi , Insya-Allah.