Friday, November 5, 2010

Wasiat & Kata-Kataku: Yang Keempat (Bersyukur dan Berzikirlah kepada Yang Maha Esa )


    Sebagai hamba Allah yang tergolong daripada umat Muhammad SAW yang tiada tolok bandingya dengan umat para Nabi yang lain , kita haruslah memanjatkan kesyukuran kerana kita dilahirkan secara sedia ada tergolong dalam golongan umat yang terpilih ini. Sesungguhnya , Allah SWT telah berfirman umat Muhammad merupakan sebaik-baik umat yang pernah mentadbir bumi Allah ini.

Firman Allah SWT : 
3:110

"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik."
(Surah Ali-Imran : 110)
           Wajarlah kita mensyukuri nikmat yang telah dikurniakan kepada kita - Nikmat yang Allah berikan kepada kita sebenarnya terlalu luas. Sedar tidak sedar , hakikatnya sememangnya kita ini dapat hidup hanya kerana Allah Yang Maha Luas Pemberian-Nya memancarkan kasih-Nya , sayang-Nya , rahmat-Nya , kekayaan-Nya kepada kita. Ada sesetengah golongan orientalis Barat yang menyamakan Allah dengan Zeus , tuhan mitos Greek dengan menyatakan bahawa Allah memberi pelbagai nikmat kepada kita kerana Dia memerlukan kita. INI ADALAH SATU KESALAHAN YANG BESAR , barang siapa yang membenarkan kenyataan orientalis Barat tadi nyata kafir. Allah Azza Wa Jalla memberi segala kesenangan dan nikmat bukanlah kerana Dia memerlukan kita , tetapi hanyalah kerana sifat ar-Rahman dan ar-Rahim-Nya. Ingatlah setiap larangan-Nya , setiap suruhan-Nya yang diberikan kepada kita jika kita patuhi atau kita ingkari tidak akan membawa sebarang manfaat mahupun mudharat kepada-Nya , Zat Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung walaupun sebesar debu sekalipun. Dia memberi sebarang nikmat daripada hamba-hamba-Nya adalah semata-mata kerana itu Iradat-Nya , ataupun Kehendak yang merupakan salah satu dari 20 sifat-Nya. Kehendak Allah itu pula dibaluti dengan rasa kasih-Nya terhadap hamba-hamba-Nya lalu menjadikan setiap syariat , amalan , amanat dari-Nya adalah untuk kebahagiaan kita dunia dan akhirat. 
        Jadi ucapkanlah syukur syukur kepada Allah SWT atas Pemberian-Nya. Namun , memang sudah menjadi hakikat kita jarang-jarang sekali bersyukur kepada-Nya. 
Firman-Nya : 
7:10


"Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur."
     (Surah Al-A'raf : 10)
Firman-Nya lagi :


32:9


"Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur."
(Surah As-Sajdah : 9)


Mensyukuri nimat Allah Taala itu wajib bukannya sunat , janganlah kita tergolong dengan mereka yang mengkufuri nikmat Allah. Allah tidak meminta balasan , hanya mengingatkan kita agar bersyukur dan Dia amat menyayangi mereka yang bersyukur. 
 Firman Allah : 
14:7


"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras"."
(Surah Ibrahim : 7)
Firman-Nya lagi :


2:152


"Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku)."
(Surah Al-Baqarah : 152)
                   Tetapi sudah menjadi lumrah manusia yang mudah lupa akan budi , nikmat Allah , hanya bersyukur apabila mendapat sesuatu nikmat yang zahir seperti mendapat hadiah , kenaikan pangkat , makan dan minum yang cukup , sumber pendapatan yang tinggi , rumah yang besar dan sebagainya namun tidak pula mereka bersyukur kepada nikmat Allah yang batin , seperti akal yang waras , pergerakan anggota yang lancar , nadi yang selaras , udara yang mencukupi keperluan untuk bernafas , dikurniakan pancaindera ,mempunyai masa lapang , air yang tidak terkira , sedangkan jika kita masih dapat berpijak di muka bumi Allah ini juga merupakan suatu nikmat dan rahmat dari Ilahi. Jikalau segala nikmat Allah itu , hendak kita senaraikan , ianya akan menjadi suatu senarai yang tiada berpenghujung ,jikalau kita mencabar dengan berkata , " Aku tak perlukan semua ini " , dan sebagainya ternyata kita telah teran-terangan mengkufuri Allah SWT. Berapa kalikah kita mengucapkan tahmid , memanjatkan kesyukuran untuk segala nikmat yang kita perolehi? Amatlah sedikit. 


Bukan sahaja bertahmid , malahan berzikirlah kita  kepada-Nya. Apalah salahnya , malah tidak susah untuk kita mengucapkan zikir di bibir-bibir kita. Allah telah berfirman agar kita sentiasa mengingati-Nya pada setiap masa dan keadaan. 
Firman-Nya:


4:103

"Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya."
(Surah An-Nisa : 103)


33:41

(surah Al-Ahzab : 41)
"Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya;"
Ada pelbagai zikir yang menjadi amalan tetapi Rasulullah pernah bersabda :


"Sebaik-baik zikir kamu kepada Allah SWT ada empat , Maha Suci Allah (Subahnallah , Tasbih) , Segala Puji bagi Allah (Alhamdulillah , Tahmid) , Tiada Tuhan melainkan Allah ( La Ilaha Illallah , Tahlil) , Allah Maha Besar (Allahu Akbar , Takbir). Tidak ada halangannya untuk memulakan yang mana satu di antara empat itu dahulu"


Perbanyakkanlah diri kita dengan amalan zikir , basahilah lidah kerana berzikir , keringkan lidah kita juga kerana berzikir , Insya-Allah kita akan mendapat rahmat , nikmat , beserta berkat. Sehingga berjumpa lagi , Insya-Allah.