Sunday, April 29, 2012

Tawadhu' vs Takabbur.



Apabila berbahas tentang tawadhu' , pasti tidak lari dari berbincang tentang takabbur. Apabila mencari tawadhu' , pasti mahu lari dari takabbur. Ya. Tawadhu' musuhnya takabbur. Telah bermusuh dua sifat ini sejak dahulu lagi. Tawadhu' kaumnya sifat mahmudah , takabbur puaknya sifat mazmumah. Takabbur ini sangat dahsyat impaknya. Sabda Nabi didalam sebuah hadis yang berbunyi :

“Tidak masuk syurga orang yang ada di dalam hatinya (sifat) Takabbur (walaupun) sebesar zarah. Lalu seorang lelaki bertanya:  Bagaimana dengan orang yang suka berpakaian cantik dan bersepatu bagus? Maka jawab baginda: Sesungguhnya Allah itu cantik (sempurna), Dia suka kepada kecantikan(sempurna). (Adapun) takabbur ialah menolak kebenaran dan merendahkan manusia lain." - Hadis Riwayat Muslim dan at-Tirmizi

Nauzubillahi min zalik. Sebesar zarah! Tiada daya serta upaya melainkan dengan izin-Mu , Ya Allah. Hanya sebesar zarah sudah cukup untuk menjadi tiket kita untuk ke neraka-Nya , dan sesungguhnya ia adalah seburuk-buruk tempat. Begitulah besarnya gambaran bahaya bagi sifat mazmumah ini. Ianya menjadi penghalang kita ke syurga serta menjadi penyebab kita ke neraka.

Ya , itulah hakikatnya. Tidak mahukah kita mengorak langkah ke syurga Yang Maha Esa? Sudah pasti hendak, bisik hati. Oleh itu, kikiskan takabbur dari hati dan semaikan pula dengan tawadhu'.

Tawadhu' merupakan suatu sifat yang teramat mulia. Masakan tidak , ianya jelas dinyatakan di dalam al-Qur'an bahawasanya Allah SWT mengiktiraf  bahawa mereka yang tawadhu' sebagai sebenar-benar hamba yang diredhai-Nya. Firman Allah SWT didalam mukjizat agung baginda SAW:

"Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhai-Nya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan penuh rendah hati (tawadhu') , dan apabila orang-orang yang berkelakuan biadap kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat (baik);" 
-al-Furqan : 63

Subhanallah. Tidak mahukah kita mengecapi redha Allah dan menjadi sebahagian dari mereka yang dinyatakan didalam ayat al-Qur'an tadi? Redha Allah sudah pasti membawa ke syurga. Ianya pasti benar, tiada penafian.

Orang yang takabbur dan ujub itu cukup selesa dalam mengkritik dan mendedahkan kesalahan orang lain, namun cukup benci jika dirinya pula dikritik. Dia hanya ingin mengkritik dan tidak mahu dikritik, juga sentiasa ingin kritikannya didengari dan diikuti.

Orang yang tawadhu ' pula tidak pernah berasa dirinya hebat berbanding mereka yang lain. Dia tidak berhenti meminta nasihat walaupun dirinya sudah ternyata benar. Dia sgt suka dinasihati serta sangat menyintai akan nasihat. Dia pasti mendengar nasihat dan tidak pula meremehkan sebarang nasihat.

Oleh itu , latihlah diri  agar tergolong didalam golongan mereka yang tawadhu' , serta terhindar dari golongan mereka yang takbbur. Insya Allah , dengan usaha , dicampur dengan hidayah dari Yang Maha Sempurna ,kita pasti berjaya. Wallahu'alam.

------------------------------------------------------------------------------------------------------

Info : (Imam An-Nawawi mengupas mengenai hadis tersebut dengan berkata, “Hadis ini berisi larangan dari sifat sombong iaitu menyombongkan diri kepada manusia, merendahkan mereka dan menolak kebenaran“ - Syarah Sahih Muslim , 2/269.) - Moga ambil iktibar. Insya Allah.

Saturday, April 28, 2012

Katakanlah, "Aku berlindung pada-Mu , Ya Allah."


Hidup ini tidak asing dengan pelbagai ujian. Kerana itulah caranya kita mengukur iman yang tersemai di dalam dada. Ya , ujian itu kayu ukur bagi iman yang bersifat umum. Tidak terbatas ia oleh umur, pangkat , mahupun darjat. Asalkan diri bergelar Mu'min , pasti dirinya tidak terlepas dari ujian.

Firman Allah SWT : "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu ujian)? ."
-al-'Ankabut : 2

Hati tunduk tanda mengerti. Dipersoalkannya pula, mengapa gagal didalam ujian? Mungkinkah ianya terlalu berat untukku? Tidak , sama sekali tidak, nafi hati kemudiannya. Benar. Ujian tidak pernah terlalu berat untuk diri. Kerana firman-Nya berbunyi :

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala atas kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa atas kejahatan yang diusahakannya. "
-al-Baqarah : 286

Sudah ternyata ujian tiada yang membebankan.

Jadi mengapa wahai diri? Mengapa engkau kecundang setiap kali berjuang? Apakah engkau kekurangan iman, wahai diri? Terdiam kerana ada benarnya. Ya, barangkali. Barangkali imanku masih tipis lagi.

Benar. Iman menjadi penentu kesudahan didalam ujian. Tahukah kita setiap kali ujian menjelmakan dirinya, iman dan nafsu berdebat hebat? Iman berdebat dengan hujah-hujahnya , manakala nafsu pula dengan dakyah-dakyahnya. Maka , berdebatlah dua unsur rohani yang menjadi penakluk hati. Sedang perdebatan yang hebat ini berlaku , datanglah unsur ketiga memerhati. Ya. Itulah Iblis Laknatullah. Diperhatikan betapa rancaknya perdebatan hati.

Tiba-tiba, arus perdebatan mulai berubah. Dilihatnya iman sedang menakluki nafsu dihati , mulalah dia membisik pada jiwa manusia. Disebarkan dakyah , disiramkan janji. Nafsu bercambah dengan begitu hebat sekali. Iman mula mengundur diri. Wahai hamba kepada Yang Maha Pemurah , berdoalah! Berdoalah dengan berkata, "Aku berlindung pada-Mu , ya Allah , aku berlindung pada-Mu dari syaitan yang direjam ini! ". Kuatkan lagi doamu dengan istighfar. Iman mula bangkit kembali. Iman yang tadi ingin mengundur diri , berdiri tegak mengagahkan diri. Iblis terkedu , terdiam sendiri. Ya. Berjaya juga akhirnya iman menawan nafsu , menakluki hati. Panjatkan syukurmu pada Ilahi kerana terkabulnya doamu yang berbunyi , " Aku berlindung pada-Mu, Ya Allah".
-------------------------------------------------------------------------------------------------------
Wallahu'alam.

Friday, April 27, 2012

Ragukah engkau, wahai umat Muhammad SAW?

Umat akhir zaman ini. Ya , kitalah umat akhir zaman ini. Umat kepada penghulu dan penutup para Nabi. Umat kepada Baginda SAW. Umat yang diiktiraf sebagai sebaik-baik umat. Alhamdulillah , segala syukur  hanya untuk-Nya , Yang Maha Sempurna.

Namun , apa kata realiti? Apa bisiknya pada hati? Ternyata realiti ingin bersuara. Ingin ia berkata selantangnya , "Parah , parah , umat zaman ini semakin parah! ". Ya. Umat kita semakin parah. Umat kita diambang keruntuhan. Krisis. Ini adalah krisis iman umat terakhir ini.

Ragukah engkau, wahai umat Muhammad SAW? Ragukah engkau akan syariat Tuhanmu , Allah SWT , sebaik-baik Penghukum , yang Hikmah-Nya meliputi segala isi langit beserta bumi? Jikalau ragu pada Hikmah-Nya , apakah engkau ragu kepada-Nya? Jangan! Jangan sesekali! Sesungguhnya itu hanya was-was dari Iblis serta nafsumu sendiri. Kembalilah kepada Allah. Kembalilah kepada sunnah Rasulullah. Berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya syariat Allah (al-Qur'an) itu diturunkan bukanlah untuk membawa kesusahan. Firman-Nya dalam Surah Taha , ayat 2 :

"Kami tidaklah menurunkan al-Qur'an kepadamu (wahai Muhammad) agar engkau menanggung kesusahan."
- Taha : 2

Ibarat terang lagi bersuluh. Tidak diturunkan syariat Allah itu untuk menyusahkan , malah hanya kebaikan semata-mata. Tapi mengapa wahai manusia? Mengapa engkau masih memberi seribu dalih agar terlepas dari syariat-Nya? Apakah engkau lupa akan janji-janji-Nya? Atau engkau sengaja mencari murka-Nya? Jangan! Jangan sesekali! Kelak buruk akibatnya. Yakinkanlah hatimu , kikiskan ragumu. Ingatlah janji Sebaik-baik Pencipta. Biarlah ganjil dirimu kerana yakinnya dirimu pada syariat-syariat-Nya. Bukankah Nabi SAW pernah bersabda bahawa beruntunglah mereka yang ganjil kerana agamanya?

Sabda Baginda SAW : “Islam bermula sebagai sesuatu yang dianggap asing dan ganjil. Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah orang-orang yang ganjil” - Hadis Riwayat Muslim.

Tolehkan hatimu kearah Islam. Palingkan mindamu dari janji-janji syaitan. Tiada janji yang benar kalau datangnya dari Iblis dan syaitan. Ayuh! Bangkitlah. Bangkit dan tegakkan semula syariat agama yang sudah lama dipisah , baik dari diri mahupun dari pemerintahan Bumi Islam ini. Agar kembali gemilang umat terakhir ini. Agar kembali disinar cahaya rahmat Ilahi. Insya Allah, kita mampu bangkit kembali.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------
Sumber inspirasi: Khutbah Jumaat (27/4/2012) , Masjid Kolej Islam Malaya.

Wednesday, April 25, 2012

Benarkah doa kita yang termakbul?



Petikan kisah ini saya ambil dari nota Hilal Asyraf , bacalah. Insya Allah banyak manfaat dari kisah ini:

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Kedua-duanya adalah anak yatim lagi miskin. Mereka tinggal di rumah pusaka tinggalan ibu bapa mereka. Kedua ibu bapa mereka adalah hamba Allah yang soleh. Kedua-dua anak dididik untuk bergantung harap dengan Allah SWT.

Si abang, saban hari berdoa agar Allah mengubah nasib hidupnya. Dia meminta kepada Allah agar dipertemukan dengan isteri yang cantik lagi kaya. Dia meminta kepada Allah agar dirinya kaya raya.

Si Adik pula, seorang yang buta huruf. Tidak seperti abangnya, dia membaca doa pun dengan melihat kertas. Sebelum bapanya mati, dia pernah meminta bapanya menulis sesuatu di atas kertas, dan kertas itu sering dipegangnya setiap kali berdoa.

Akhirnya, Allah mempertemukan seorang perempuan yang cantik lagi kaya dengannya. Perempuan itu jatuh hati kepadanya, lantas berkahwin. Si Abang seperti mendapat durian runtuh dan kehidupannya terus berubah. Dia keluar dari rumah pusaka, dan meninggalkan adiknya.

Si Abang akhirnya kaya raya, malah terus kaya apabila dia memasuki medan bisnes. Dia sudah mula alpa dengan Allah, melewat-lewatkan solah, jarang membaca Al-Quran, tapi tidak pernah lalai untuk meminta kekayaan daripada Allah. Kalau masuk dalam bab perniagaan, kekayaan dunia, maka berbondong-bondong doanya kepada Allah. Dan ajaibnya, Allah beri apa yang dia minta. Si abang rasa dia istimewa.

Si adik pula, hidupnya tidak berubah. Dia masih seorang sederhana, dengan kelemahannya sebagai seorang buta huruf, dia hannya mendapat kerjaya sederhana, terus menjaga rumah pusaka. Si adik, juga rajin berdoa. Si abang tahu, si adik rajin berdoa. Tapi Si Abang melihat, hidup adiknya tidak berubah-ubah. Lantas satu hari, ketika Si Abang menziarahi adiknya, Si Abang berkata dengan sombong:

“Kau kena berdoa kuat lagi. Tengok aku, berdoa je Allah pasti makbulkan. Kau ni tak cukup hampir dengan Allah ni. Berdoa pun masih tengok-tengok kertas. Tak cukup hebat.”

Si Adik tersenyum sahaja. Suka abangnya menegur kerana padanya, teguran abang amat bermakna.

Si Adik terus hidup sederhana, di dalam rumah pusaka, dengan doa melihat kertas saban hari, dan kehidupannya tetap tidak berubah. Tidak menjadi kaya seperti abang.

Satu hari, Si Adik meninggal dunia. Ketika Si Abang mengemas-kemas rumah pusaka, dia berjumpa satu kertas. Kertas itu adalah kertas yang adiknya sering pegang ketika berdoa.

Si Abang menangis teresak-esak apabila membaca kertas kecil itu.

Kertas itu tertulis: “ Ya Allah, makbulkan lah segala doa abang aku”

Masya-Allah...

Si Abang mula membandingkan dirinya dengan adiknya. Adiknya kekal taat kepada Allah dan tidak meringan-ringankan urusannya dengan Allah SWT. Adiknya, sedikit pun tidak meminta dunia kepada Allah, malah tidak meminta apa-apa untuk dirinya. Tetapi adiknya meminta agar segala doa Si Abang dimakbulkan. Si Abang, tidak pernah sedikit pun mendoakan Si Adik.

Si Abang mula nampak, rupanya, bukan doa dia yang makbul. Tetapi doa adiknya telah diterima oleh Allah SWT, lantas segala doanya menjadi makbul.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Subhanallah! Tertanya-tanya dihati ini , benarkah doa aku yang telah Allah makbulkan?

Berdasarkan kisah ini, ianya menyentuh bagaimana sikap kita setelah Allah SWT mengabulkan segala permintaan kita. Persoalkan diri semula. Adakah aku bersyukur? Adakah amalan aku bertambah baik selepas terkabulnya doaku? Adakah doa aku yang benar-benar termakbul? Ungkapkan persoalan ini dihati kita agar jiwa tidak menjadi alpa kerana tersemainya rasa bangga diri.

Juga , janganlah berasa segan meminta orang lain untuk mendoakan kita. Rendahkanlah hati kita setiap kali termakbulnya doa kita, semaikan benih-benih syukur agar sifat tawadhu' menjelma. Kejadian yang menimpa si Abang seperti didalam kisah ini mampu menusuk jarum takabbur yang halus tanpa kita sedar. Berdoalah dengan rasa tawadhu' , ditambah pula dengan iman serta amal. Tambahan lagi, setiap kali permintaan kita terkabul , jangan pula kita lupa untuk mendoakan mereka yang lain , kerana barangkali terkabulnya permintaan kita atas sebab termakbulnya doa mereka yang lain, jadikan amalan doa-mendoakan mereka yang lain ini sebagai memanjat rasa syukur pada Yang Maha Esa dan membalas jasa mereka yang telah mendoakan kita.

Sabda baginda SAW : "Doa seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah didalam tempat yang berjauhan akan diterima oleh Allah" - Hadis Riwayat Muslim.

Ini menggambarkan betapa Islam menggalakkan kita mendoakan orang lain apatah lagi ibu bapa kita sendiri.

Sabda Rasulullah SAW: "Apabila seseorang itu meninggal dunia, terputus baginya segala amalan kecuali yang tiga: amal jariah yang berterusan (sedekah) , ilmu yang membawa manfaat , dan doa anak yang soleh" - Hadis Riwayat Muslim.

Wallahu'alam. Renung-renungkan dan selamat berdoa. :)

Sunday, April 22, 2012

Cantiknya Lelaki , Gagahnya Wanita.

Dimana Kecantikan Lelaki? 

Kecantikan seorang lelaki bukan kepada rupa fizikal yang terukir diwajahnya tetapi pada murninya rohani. Lelaki yang cantik adalah:-

1) Lelaki yang mampu mengalirkan air matanya untuk ingatan.

2) Lelaki yang bersedia menerima segala teguran.

3) Lelaki yang meluah madu, setelah menelan racun.

4) Lelaki yang tenang serta lapang dadanya.

5) Lelaki yang sentiasa berbaik sangka.

6) Lelaki yang tidak mengenal apa itu putus asa.

7) Lelaki yang tidak berpaling dari ujian.

Kecantikan lelaki berdiri di atas mulianya hati, besarnya jiwa.. Seluruh kecantikan yang ada pada sehebat-hebat lelaki , Muhamad SAW adalah kecantikan yang sempurna bagi seorang lelaki.

Lalu , dimana pula kegagahan seorang wanita?


Gagahnya wanita bukan kerana kuat sifat fizikalnya , tapi tabahnya hati yg murni. Wanita yang gagah adalah :

1) Wanita yang tabah menerima sebuah kehilangan.

2) Wanita yang tidak takut pada kemiskinan.

3) Wanita yang tabah menanggung kerinduan setelah diri ditinggalkan.

4) Wanita yang tidak meminta-minta agar di penuhi segala keinginan.

5) Wanita yang tidak gentar bila berdepan dengan ujian.

Gagahnya wanita berpaksi di atas keteguhan imannya. Seluruh kegagahan yang ada pada Khadijah adalah kegagahan yang terbaik bagi seorang wanita.

-Sumber : iluvislam.com

Tuesday, April 17, 2012

Tatkala Jiwa menjadi kosong..

Tatkala jiwa menjadi kosong , rawatlah ia dengan zikir di hati.
Tatkala jiwa menjadi kosong , penuhi al-Qur'an di lubuk sanubari.
Tatkala jiwa menjadi kosong , berlarilah kepada Ilahi.
Tatkala jiwa menjadi kosong , ingatlah kepada mati.

Kerana jiwa yang kosong itu permulaan bagi hati yang mati.
Kerana jiwa yang kosong itu puncanya hati berbelah bahagi.
Kerana jiwa yang kosong itu sumber lalainya hati.

Rawatlah hati , gilaplah iman , Insya Allah, hati bakal subur kembali.

Jikalau diri ini ganjil kerana Islam....

Wanita Melayu yang benar2 muslimah kini dipandang ganjil. Mengapakah?


-Jikalau gadis tersebut berniqab, ianya ganjil? 
-Jikalau gadis tersebut menutup aurat sepenuhnya, ianya ganjil? 
-Jikalau gadis tersebut melabuhkan tudung menutupi dada mereka, menjadi ganjil?
-Jikalau gadis tersebut mengenakan pakaian longgar dan besar, ganjil? 
-Jikalau gadis tersebut malu untuk keluar bersama bukan mahram, menjadi ganjil? 
-Jikalau gadis tersebut pakai stoking kaki ke mana-mana walau mandi bersama kawan-kawan di laut, ianya ganjil?
-Jikalau gadis tersebut pakai stoking tangan walau dah mengenakan t-shirt lengan panjang, ganjil?
-Jikalau gadis tersebut meninggalkan orang yang sedang bergosip dan mengata orang lain walaupun yang sedang mengata itu kawan baiknya, ianya ganjil?
-Jikalau gadis tersebut tidak mengenakan mekap berlebihan, ganjil?
-Jikalau gadis tersebut tidak memakai perfume kecuali sekadar sangat sedikit dan tidak terhidu orang lain, menjadi ganjil?
-Jikalau gadis tersebut tidak 'bercouple' sebelum nikah, menjd ganjil?
-Jikalau gadis tersebut tidak materialistik dan memilih kehidupan untuk taat kepada agama, ganjil?
                                                                                                       
Jikalau ganjil dirimu kerana ini , beruntunglah dirimu yg ganjil kerana , Sabda Rasulullah SAW: “Islam bermula sebagai sesuatu yang dianggap asing dan ganjil. Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah orang-orang yang ganjil”  - Hadis Riwayat Muslim

Senyum dan berkatalah , ganjil diriku ini adalah kerana Allah dan Islam. :)